Tuesday, April 19, 2011

Reda kunci ketenangan Azean


CINTANYA pada dunia lakonan tidak pernah pudar. Dua kali melalui keperitan rawatan kemoterapi, Azean Irdawaty, 59 tidak pernah mengenal erti putus asa. Insan seni ini masih ceria dan bersemangat seperti dulu.

Penampilannya kali ini agak berbeza dengan raut wajah yang lebih tenang.

Tidak seperti kanser payu dara biasa, sel kanser telah merebak dua kali dalam badannya.

Azean atau lebih mesra dengan panggilan Kak Yan menjalani rawatan kemoterapi sebanyak dua kali pada tahun 2007 (enam pusingan) dan 2008 (12 pusingan).

Selepas menjalani rawatan kemoterapi pertama, Azean melakukan rawatan herseptin sebanyak 17 kali untuk memastikan sel kanser tidak merebak.

Ketika itu hidup Azean benar-benar diuji kerana dia perlu membelanjakan RM 10 ribu untuk setiap rawatan.

Demi kehidupan yang lebih baik, Azean perlu menempuhnya kerana jenis-jenis kanser yang dihidapinya amat jarang dan sangat agresif.

Tidak sampai setahun menghabiskan rawatan, sekali lagi hidup Azean diuji.

Sel kanser telah merebak ke paru-paru dan hati. Azean kemudian melakukan rawatan kemoterapi sekali lagi hingga Januari 2009 lalu.

Namun, dia mengambil keputusan untuk tidak menyambung rawatan herseptin kerana masalah kewangan.

"Dua tahun Kak Yan tidak bekerja. Sebelum ini pelbagai sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk zakat, persatuan dan rakan-rakan yang Kak Yan terima. Pada satu tahap, Kak Yan segan kerana ibarat meminta-minta. Sepanjang dua tahun ini, hampir RM 200 ribu lebih yang Kak Yan belanja untuk perubatan," katanya dengan tenang.

Usahanya untuk terus hidup tidak setakat itu, Azean masih meneruskan rawatan secara tradisional seperti memakan habba tus sawda iaitu sejenis bunga di negara Arab.

"Kak Yan juga mencuba minyak zaitun dara dari Palestin dan makan biji buah aprikot dari Australia. Alhamdulillah, setakat ini ia dapat membantu Kak Yan," jelasnya.

More: www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment